sahabat

Tuesday 14 May 2013

Ilmu dan akhlak ciri pemimpin pilihan

Bismillah...

Pagi ini teringatkan kata-kata seorang penyair 'Jika gagak menjadi petunjuk suatu kaum, maka ia akan menunjukkan kepada bangkai (anjing)'. 

Al-Quran menganjurkan ilmu sebagai prasyarat utama dalam memimpin masyarakat. Dalam ertikata mudahnya, umat tidak boleh dipimpin oleh orang jahil, tetapi harus dipimpin oleh orang yang berilmu. Umat yang menyerahkan tugas kepimpinan kepada orang-orang yang tidak berilmu bagaikan menggali kubur sendiri. Ini kerana pemimpin sebegini membawa kepada bencana dan kesesatan.

Para ulama ada mengisahkan Bisyar bin Barad, seorang penyair yang ditanya oleh seorang yang normal matanya tentang arah jalan ke satu tempat. Lalu disyairkan dengan sindiran oleh Bisyar 'Ke sinilah ku tunjukkan padamu. Seorang buta menuntun orang yang melihat, tidak ada bapa bagi kalian. Sungguh tersesat orang yang ditunjuki oleh sibuta'

Maka itu Al-Quran menyebut bahawa ilmu sebagai satu faktor penentu untuk jawatan khalifah di bumi. Lihat kisah Nabi Adam AS; 'Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya' (Surah Al-Baqarah:31). Rujuk juga Surah Al-Baqarah: 246-247, Surah Yusuf: 54-55.

Dan, untuk hari-hari mendatang ini kita menunggu dengan penuh debaran perlantikan kabinet Malaysia. Kita mendoakan agar pemilihan dibuat atas dasar akhlak kerana inilah sifat dan watak yang mengambarkan keadaan bathin dan rohani seseorang. Di atas sifat dan watak inilah seseorang akan dibangkitkan pada hari Kiamat. Biasanya, apabila penampilan fizikal seseorang itu kemas, kita akan nilaikan ia sebagai penampilan yang baik. Namun, kita juga perlukan pemimpin yang dihiasi dengan pelbagai sifat dan watak yang baik kerana penampilan bathin yang baik akan berakhlak baik. Penampilan bathin inilah yang selalu dilihat Allah.

Pemimpin yang bathinnya baik akan sentiasa meluruskan akhlaknya dan mempunyai sifat-sifat yang dicintai Allah. Dan yang paling utama , pemimpin yang berakhlak akan berkewajipan menyahut misi pengutusan Rasulullah sebagai nabi, seperti yang disabdakan Baginda dalam hadithnya, 'Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia (Riwayat Al-Bukhari).

No comments:

Post a Comment