sahabat

Thursday 16 May 2013

Istighfar

Bismillah...

Jumaat datang lagi. Hari yang di'kategorikan' sebagai Penghulu segala hari.

Cuma hari ini saya ingin mengajak diri sendiri untuk beristiqhfar, bukan kerana datangnya Jumaat tetapi ia perlu dilakukan setiap hari dan ketika. Istighfar adalah satu bentuk meditasi dan salah satu kaedah untuk mencapai tahap kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Bila kita melafazkan istghfar secara ikhlas dan khusuk, ia melahirkan satu tenaga positif dalam diri. Ini terlahir kerana istighfar itu adalah pengharapan kita kepada Allah SWT agar dosa kita diampunkan.

Bayangkan, melazimkan istighfar boleh membersihkan hati dan ia membentuk diri dan peribadi insan yang hebat di dunia dan akhirat.

Malah, apa yang lebih baik adalah janji-janji Allah kepada mereka yang mengamalkan istighfar. Antara kelebihan adalah menghapuskan dosa. Mereka yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, maka segala dosanya walau sebanyak buih di lautan, akan tetap diampunkan Allah.(Rujuk Surah Al-Imran:135).

Ungkapan istighfar juga mampu menjadi perisai dalam usaha menghalang gangguan syaitan. Sebuah riwayat menukilkan tentang seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW kerana dosa yang dilakukannya. Nabi menasihatkannya dengan 'Mohonlah Ampun Kepada Allah'. Lelaki itu mengulangi perbuatan dosanya lalu meminta nasihat Rasulullah SAW. Nabi menasihatkan lelaki itu 'Setiap kali kamu melakukan dosa maka mohonlah ampun kepada Allah'. Dan lelaki itu bertanya lagi, 'Jika aku terus melakukan dosa'? Lalu Rasulullah SAW bersabda 'Allah akan mengampunkan yang lebih banyak dari itu. Teruslah kamu bertaubat sehingga syaitan itu terusir dari mu'.

Allah, Allah, Allah!





Wednesday 15 May 2013

Syukur itu subur

Bismillah...

Ketika sedang membaca pagi ini, mata saya terhenti kepada satu pertanyaan dari Aisyah kepada baginda Rasulullah. Ia sangat memberi erti yang mendalam bila saya mentafakurkanya.

'Mengapa engkau lakukan ini, Ya Rasulullah? Padahal Allah mengampunkan dosamu yang lalu dan akan datang'

Baginda menjawab; 'Salahkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur'

Subhanallah, Rasulullah menunjukkan kesyukurannya dengan bertahajud setiap malam hingga kakinya bengkak seperti yang disebut dalam sebuah hadith. Allah Ya Rabbi, syukur sebenarnya perlu disertakan dengan perbuatan. Ambillah Rasulullah sebagai teladan kerana Baginda dalam menlahirkan rasa syukur banyak melakukan ibadah, melaksanakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Kemudian disertai pula dengan ibadah sunat untuk menyempurnakan lagi rasa kesyukuran itu.

Nabi memberi gambaran bahawa mensyukuri nikmat Allah itu suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan secara berterusan. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita setiap waktu dan hari tanpa kita sedari. Dan setiap kali kita bersyukur , Allah akan lipat gandakan lagi nikmatnya itu (Surah Ibrahim:7).

Syukur itu sinonim dengan subur. Lagi banyak kita bersyukur ia menyuburkan anugerah-anugerah Allah.

Inilah masanya kita mula bersyukur dengan hati, perkataan, dan perbuatan.

Tuesday 14 May 2013

Ilmu dan akhlak ciri pemimpin pilihan

Bismillah...

Pagi ini teringatkan kata-kata seorang penyair 'Jika gagak menjadi petunjuk suatu kaum, maka ia akan menunjukkan kepada bangkai (anjing)'. 

Al-Quran menganjurkan ilmu sebagai prasyarat utama dalam memimpin masyarakat. Dalam ertikata mudahnya, umat tidak boleh dipimpin oleh orang jahil, tetapi harus dipimpin oleh orang yang berilmu. Umat yang menyerahkan tugas kepimpinan kepada orang-orang yang tidak berilmu bagaikan menggali kubur sendiri. Ini kerana pemimpin sebegini membawa kepada bencana dan kesesatan.

Para ulama ada mengisahkan Bisyar bin Barad, seorang penyair yang ditanya oleh seorang yang normal matanya tentang arah jalan ke satu tempat. Lalu disyairkan dengan sindiran oleh Bisyar 'Ke sinilah ku tunjukkan padamu. Seorang buta menuntun orang yang melihat, tidak ada bapa bagi kalian. Sungguh tersesat orang yang ditunjuki oleh sibuta'

Maka itu Al-Quran menyebut bahawa ilmu sebagai satu faktor penentu untuk jawatan khalifah di bumi. Lihat kisah Nabi Adam AS; 'Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya' (Surah Al-Baqarah:31). Rujuk juga Surah Al-Baqarah: 246-247, Surah Yusuf: 54-55.

Dan, untuk hari-hari mendatang ini kita menunggu dengan penuh debaran perlantikan kabinet Malaysia. Kita mendoakan agar pemilihan dibuat atas dasar akhlak kerana inilah sifat dan watak yang mengambarkan keadaan bathin dan rohani seseorang. Di atas sifat dan watak inilah seseorang akan dibangkitkan pada hari Kiamat. Biasanya, apabila penampilan fizikal seseorang itu kemas, kita akan nilaikan ia sebagai penampilan yang baik. Namun, kita juga perlukan pemimpin yang dihiasi dengan pelbagai sifat dan watak yang baik kerana penampilan bathin yang baik akan berakhlak baik. Penampilan bathin inilah yang selalu dilihat Allah.

Pemimpin yang bathinnya baik akan sentiasa meluruskan akhlaknya dan mempunyai sifat-sifat yang dicintai Allah. Dan yang paling utama , pemimpin yang berakhlak akan berkewajipan menyahut misi pengutusan Rasulullah sebagai nabi, seperti yang disabdakan Baginda dalam hadithnya, 'Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia (Riwayat Al-Bukhari).

Monday 13 May 2013

Setiap hari adalah hari ibu

Bismillah...

Semalam merupakan 'Hari Ibu', dan ramai juga yang meraikannya sebagai menghargai ibu masing-masing. Secara peribadi saya tidak menyokong sambutan sebegini. Hari-hari sambutan sebegini lahir kerana terdapat golongan yang tidak punya masa untuk insan-insan tersayang. Maka lahirlah Hari Bapa, Hari Ibu, Hari Kekasih, dan sebagainya. Negara barat memang 'cerdik' menyembunyikan kekurangan mereka. Mereka leka dengan hal-hal dunia sehingga tanggangjawab sebagai anak tidak dilaksanakan. Justeru, untuk menutup mereka mula wujudkan berbagai-bagai sambutan.

Islam mengajar kita menhargai jasa dan pengorbanan ibubapa setiap waktu bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Diantara tanggungjawab anak-anak terhadap ibubapa adalah berbuat baik kepada kedua ibubapa. Anak-anak dituntut supaya berbakti terhadap ibubapa samaada semasa mereka masih hidup atau sesudah meninggal dunia. Al-Quran ada menyebut 'Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman) "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa..." Surah Al-Baqarah:83. Rujuk juga Surah An-Nissa:36, Surah Al-Ana'am:151, Surah Luqman:15, SurahAl-Israa:23. Dan banyak lagi surah-surah sealirannya.

Antara Hadith yang memperkukuhkan tanggungjawab kita sebagai anak adalah: Daripada Ibnu Amru RA katanya; Rasulullah SAW bersabda 'Keredhaan Tuhan (kepada hamba-NYA) adalah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan (pada hamba-NYA) adalah terletak pada kemurkaan kedua ibubapanya' (Riwayat At-Tabrani). Daripada Ibnu Umar RA katanya Rasulullah SAW bersabda 'Berbuat baiklah kepada kedua-dua ibubapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu' (Riwayat At-Tabrani). Daripada Ibnu Masud RA katanya Rasulullah SAW bersabda 'Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah mendirikan sembahang pada waktunya. Kemudian berbuat baik kepada kedua ibubapa kemudian berjihad fisabillah' (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

JOM, kida doakan keampunan untuk kedua ibubapa kita dalam setiap solat kita. Ameen!



Friday 10 May 2013

Pasca PRU-13: Tarbiyah Sabar

Bismillah...

Sabar! Itulah perkataan yang ingin saya nasihatkan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat semua ketika diajukan pandangan tentang kekalutan PRU13. 

Saya akui bahawa sifat sabar itu mudah untuk diungkap, tetapi sukar untuk dilakukan. Namum itulah yang perlu kita lakukan kerana sifat tidak sabar dan sedih adalah perangkap syaitan. Dan kita perlu menjauhkan diri dari segala perangkap-perangkap syaitan ini.

Usai PRU13, kita dapat lihat semangat seseorang bagai direntap-lenyap akibat kesedihan sehingga ia melumpuhkan diri dari aktiviti harian dan kehidupan. Kesedihan yang melampau adalah mainan syaitan. Syaitan menjadikan kesedihan sebagai alat untuk memutuskan seseorang dari perjalanan hidupnya sehingga mereka berhenti dari segala kegiatan kehidupan.

Ironinya, manusia suka mengada-adakan atau mencari-cari kesedihan sedangkan ia tidak memberi keuntungan. Sikap sebegini menjadi tanda samada seseorang itu beriman atau lemah.

Islam mengajar kita untuk perbanyakkan bersabar ketika ditimpa segala jenis musibah kerana sabar merupakan cara yang paling efektif untuk mendapatkan pertolongan Allah. Sabar itu merupakn kunci kejayaan yang melorongkan jalan kedamaian serta membuka pintu kebahagian.

Al-Quran banyak menyebut tentang sabar sebagai satu kaedah menangani permasalahan antaranya 'Wahai sekelian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar' Surah Al-Baqarah: 153.

Khulasahnya, kesedihan itu adalah satu pilihan, bukan keharusan. Kesabaran akan memudahkan jalan kita menghadapi segala permasalahan. Kembalikan segala masalah kita kepada Yang Maha Pemberi Penyelesaian. Jangan dipaksa hidup ini sesuai dengan kehendak sendiri.

Semoga Allah Bimbing Hati-Hati Kita.

Pasca PRU-13: Perbezaan Itu Rahmat

Bismillah...
Terlalu banyak cerita dan dakwa yang kita baca dan dengar susulan dari PRU13. Asakan-asakan politik ini menjadikan kita 'letih'. Agak menyedihkan juga dikalangan orang politik hatta rakyat tidak muhasabah diri. Seharusnya selesainya PRU13, satu jangka waktu penilaian segala pencapaian yang lalu dan menrancang apa yang ingin dicapai selanjutnya menjadi keutamaan. Namun, manusia terus menilai apa yang ingin dicapai dari sudut duniawi. Tidak ramai yang muhasabah dari sudut agama.

Perbezaan politik dari PRU13 telah mencambahkan sumber permusuhan sesama umat manusia. Bukankah agama Islam iitu mengajar kita untuk mengikat segala perbezaan melalui Iman dan taqwa kepada Allah agar persatuan dan persaudaraan menjadi indah.

'Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-NYA' Surah Al-Hujurat:13.

Perbezaan ini sebenarnya merupakan Rahmat dari Allah. Dan Rahmat ini akan hanya menjadi indah jika kita mengamalkan sikap ta'aruf (saling mengenal), tafahum (saling memahami), dan ta'awun (saling membantu) antara satu sama lain.

Meminjam kata-kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu' Fatawa: Seandainya setiap kali dua orang Muslim yang berbeza pendapat dalam satu masalah itu harus saling menjauhi dan memusuhi, nescaya tidak akan tersisa sedikitpun ikatan ukhwah di antara sesama Muslim.

Kita perlu ada kerendahan hati dan meluaskan pandangan supaya kita dapat menerima perbezaan secara arif. Rasul dan para ulama salaf telah memberikan banyak teladan yang jelas tentang keluasan pandangan dan kelapangan hati dalam menyingkap pelbagai perbezaan. Kelapangan hati membebaskan kita dari sikap ujub dan takabur yang sangat dibenci Allah, ' Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). DIA-lah sahaja yang mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa' Surah An-Najm:32.

Lihat kepada bulan dan matahari; kedua-duanya boleh berpadu walaupun tidak bersatu. Begitu juga siang dan malam, saling bertukar namun tidak pernah bercakaran.

JOM, Kita Berkempen! Bukan Untuk Pilihanraya Tetapi Berkempen Untuk Solat Lima Waktu. Semoga Allah Pilih Kita!






Sunday 20 January 2013

nur Muhammad saw

Bismillah...

Jika kita inginkan keberkatan hidup maka 'peganglah' Rasulullah SAW. Cahaya Rasulullah adalah nur Muhammad. Ia membawa manusia kepada kejayaan, kehebatan, dan kemuliaan. Nabi adalah pembawa cahaya. Melalui bagindalah kita sudi menerima Islam. Melaluinya juga tumbuh hidayah.

Kita patut bersyukur kerana tergolong dalam mereka yang sudi menerima petunjuk. Manakala sebahagian yang lain masih dalam kegelapan. Ketika nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasulullah, baginga membawa bersamanya berita gembira, berita peringatan, dan sebagai daie yang menyeru kepada Allah.

Itulah Rasulullah yang Allah utus. Ia cahaya yang terang.

Surah al-Ahzab: 45 -48 ' Hai nabi, Sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan membawa khabar gembira dan pemberi peringatan. Dan untuk jadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang besar dari Allah. Dan janganlah kamu menuruti orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung'

Rasulullah tidak bimbing kita kecuali ia jalan ke syurga.


Wednesday 16 January 2013

bahaya Snow White and The Seven Dwarfs

Masih ingatkah lagi cerita 'Snow White and The Seven Dwarfs? Atau cerita 'Cinderella'?

Kedua-dua buku ini amat popular dan sering dijadikan 'bed-time' story yang dibacakan oleh ibubapa untuk anak-anak sebelum mereka tidur. Ia juga menjadi buku dan bahan bacaan anak-anak sekolah rendah untuk mengasah kebolehmampuan membaca dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Bertahun-tahun buku ini digunakan sehingga ia menjadi sebati. 

Apa yang menarik bagi saya adalah peranan halus nilai moral yang cuba disampaikan. Dalam konteks cerita 'Snow White And The Seven Dwarfs' mengambarkan tentang seorang budak perempuan remaja yang lari dari rumahnya kerana merajuk dan berselisih faham dengan ibubapanya. Lalu, dia memilih untuk tinggal bersama 'seven dwarfs'. Watak seven dwarfs pula digambarkan sebagai budak 'kecil'. Jalan ceritanya seolah-olah tiada yang merungsingkan tetapi ia sebenarnya berjaya menjajah dan meracuni pemikiran anak-anak bahawa melarikan diri (derhaka) dari rumah apabila bermasam muka dengan ibubapa itu sesuatu yang norm. Paling mengerunkan tinggal bersama lelaki  yang tiada ikatan yang sah  juga tidak menjadi kesalahan.

Walaupun penulis buku tersebut cuba menggambarkan ia hanya tujuh budak kecil (tetapi muka dan badan mereka dilukiskan dewasa) namun ia tetap bukan muhrim dari sisi pandang Islam.




Monday 14 January 2013

Siapa artis bagi kita?

Bismillah..


Menyangkutkan artis sebagai 'role-model' bukan pendekatan asing. Ia satu 'norm'. Malahan role-model perlu disaring dari kalangan mereka yang mempunyai ramai pengikut dan peminat. Jika ini kriterianya, maka tentunya artis atau ahli sukan termasuk dalam kategori ini. Mereka adalah golongan yang mempunyai ramai peminat dan disifatkan sebagai  selebriti.

Kita tidak bermaksud untuk membakul-sampahkan golongan artis tetapi hakikatnya golongan ini lebih banyak terdedah kepada hiburan. Kita tersasar dalam membuat penilaian role-model yang sebenar. Artis bukanlah rakan pembimbing yang selayaknya untuk remaja kerana dalam jiwa anak remaja itu sendiri telah ada benih kecenderungan berhibur. Dan tidak wajar kita menyuburkannya. Jika kita membuat pemerhatian tentang konten rancangan yang tersisip di televisyen tentunya amat sedikit yang bersifat holistik. Kontentnya banyak melalaikan. Pemilik rangkaian TV pula mempunyai kecenderungan menerbitkan rancangan realiti hiburan yang menjadi kegilaan remaja yang merupakan 'follower' and 'viewer' yang ramai. Rancangan sebegini tidak menekankan nilai mendidik tetapi memfokus kepada pulangan kewangan pelabur dan memenuhi kehendak pemegang saham syarikat. Pelaburan hanya untuk pulangan di dunia bukan mencari pulangan akhirat. Kita khuatir kecenderungan berhibur yang berlebihan melahirkan kesan negatif dan, menjerumuskan remaja kepada situasi yang lebih kritikal seperti pergaulan bebas, perlakuan ganas, dadah, jenayan dan sebagainya.

Islam mengariskan cara berhibur yang dibolehkan. Ia tidak menolak hiburan secara total tetapi mengariskan perimeter yang perlu diawasi. Malangnya, hiburan di masa kini banyak melibatkan unsur-unsur haram. Yang paling ketara adalah kegagalan menjaga batasan seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Apa yang perlu kita lakukan adalah memperbanyakkan rancangan yang menampilkan tokoh agamawan muda atau tokoh budayawan. Cuma pendekatannya perlu kreatif selari dengan evolusi pemikiran masakini. Namun, kreativiti yang diusahakan tidaklah mencacatkan Islam itu ad-Din iaitu satu cara kehidupan.

Harus diingat, rosaknya akhlak manusia bermula dari contoh yang tidak baik. Anak-anak tidak mungkin bersolat jika ibubapa sendiri liat menunaikannya. Anak-anak tidak mungkin merindui akhirat jika pembangunan jiwa mereka terus diputikkan dengan hal-hal keduniaan. Berhati-hati memilih contoh. Lalu kita cuba mencari ikon yang boleh menjadi contoh ikutan. Hakikatnya, kita tidak perlu pergi jauh. Apatah lagijika kita seorang Islam. Pada Rasulullah SAW itu ada contoh ikutan terbaik.

Berhati-hatilah dengan media barat yang secara agresif membaratkan pemikiran remaja Islam untuk menolak kehidupan beragama dan mengejar material. Mereka secara terancang berjaya meminggirkan Muhammad Habibulah sebagai ikon yang paling layak. Bayangkan, ketika pengasas Microsoft, Bill Gates meninggal dunia; tidak tergambar begitu ramai remaja (termasuk remaja Islam) melahirkan kesedihan maksimum sehinggan dizahirkan secata terang di TV, akhbar, Facebook, dan berbagai cara.

Jelasnya, semangat dan kesedihan ini tidak pula terlahir setiap kali tarikh kewafatan baginda Rasulullah SAW mengetuk pintu. Ia berlalu sepi...


gambar kenangan bersama Al-Mawlid






Wednesday 9 January 2013

Orang yang RUGI


Bismillah...

Dari Awal Penciptaan Dan Pengistiharan Manusia, Allah Telah Jelaskan Misi Dan Tujuan: 'Tidak Aku Jadikan Jin Dan Manusia Kecuali Untuk Beribadah Kepada-KU'

Malangnya, Keutamaan Masa Kini Menjurus Kepada Urusan Dunia. Agama Hanya Datang Ketika Darurat Iaitu Ketika Anak Mengambil Peperiksaan, Diri Dilanda Sakit, Rumah DiGanggu Syaitan, Atau Ketika Ingin Mengadakan Doa Dan Tahlil. Ketika Itulah Agama Menjadi Keutamaan.

Banyak Iktibar Dari Sejarah Bagaimana Manusia Tidak Memanafaatkan Masa Yang Terhidang Untuk Beribadah Kepada Allah. Lihat Abu Lahab, Yang Diberi Masa, Ruang, Peluang Yang Cukup Panjang Untuk Beriman Kepada Allah. Sebagai Bapa Saudara Rasulullah SAW, Beliau Sentiasa Mendampingi Rasulullah SAW. Malahan, Menurut Sejarah, Beliau Antara Manusia Yang Paling Gembira Di Saat Rasulullah SAW Di Puterakan Dengan Memerdekakan Hamba Dan Mengadakan Jamuan. Sebagai Bapa Saudara, Beliau Bukan Sahaja Mengenali Rasulullah SAW Malah Amat Mengenali Ahli Keluarga Baginda.

Namun, Abu Lahab Gagal Memuliakan Kesempatan Masa Dan Saat Tersebut Untuk Beriman Kepada Allah. Maka Jadilah Dia Dikalangan Orang Yang Rugi.

Moralnya: Jika Kita Mempunyai Waktu Tetapi Tidak Memanfaatkan Sebaiknya Maka Kita Juga Tergolong Dalam Mereka Yang Rugi



Demi Masa


Bismillah...


Demi Masa ~ Usah Persiakan Usiamu !



Dalam surah Al-Munaafiquun, Allah 'bercerita' Bagaimana Golongan Yang Menyesal Kerana Tidak Menggunakan Kesempatan Yang Allah Beri. Bila Datang Saat Kematian Baru Mereka Sedar Dan Memohon Sedikit Waktu Untuk Beramal Soleh.



Moralnya: Tidak Menggunakan Masa Dengan Betul (Membuat Kebaikan), Kesannya Adalah Azab Allah.



Kerana Itulah Nilai Masa Di Sisi Orang Yang Beriman, Amalan Mereka Bertambah. Mereka Akan Rasa Sedih Apabila Umur Makin Berkurang Tetapi Amal Dan Ilmu Tidak Bertambah.

Jangan Terlalu Ghairah Mengucapkan 'Selamat Hari Lahir. Semoga Panjang Umur'! 

Beringatlah, Bila Allah Lanjutkan Usia Pasti Ada Kekurangan Dalam Diri. Maha Kasihnya Allah: Manusia Terus Melakukan Maksiat Namun DIA Tidak Putus-Putus Memanggil Manusia Untuk Taubat.

Bila Hilang Waktu, Kita Hilang Diri.


Tuesday 8 January 2013

Muhammad Saw sumber kekuatan

Bismillah...

Muhammad SAW Sumber Kekuatan!

Nabi Adam Ketika Memohon Ampun Menyebut 'Aku Mohon Ampun Dengan Kebenaran Muhammad'. 

Lalu Allah Bertanya 'Bagaimana Kamu Tahu Untuk Kenal Muhammad?'

Jawab Adam, 'Aku Nampak Nama Muhammad Tertulis Di Tiang-Tiang Aras. ENGKAU, Ya Allah Tidak Akan Benarkan Ini Terjadi Jika Muhammad Itu Tidak Hebat'


Moralnya: Persoalan Bagaimana Untuk Cinta Rasul Tidak Wajar Timbul. Bersyukurlah Menjadi Umat Muhammad SAW.

Ahli Syurga Itu Terdiri Dari 120 Saf. Dan Daripada Jumlah Itu, 80 Saf Adalah Umat Muhammad. Namun Persoalannya; Kita Berdiri Di Saf Mana?

JOM, KITA REBUT SAF-SAF INI.
In Sya Allahutaala.